Thursday 18 December 2008

Hanya Tuhan Yang Tahu - karya asli Alyaa

Doodled by aL sYa at Thursday, December 18, 2008
Aku membuang pandangan ke luar tingkap.Bunyi dentuman secara mengejut sebentar tadi menyedarkan aku daripada lamunan.Aku menanggalkan cermin mataku lalu meletakkannya di atas meja belajarku.Selepas menyarungkan tudung dan hanya memakai selipar jepun,aku bergegas keluar untuk melihat apa yang berlaku.Aku amat terperanjat terhadap apa yang terjadi di hadapan mataku;kemalangan antara sebuah motosikal dengan sebuah lori simen.Lori itu terhumban ke dalam parit manakala motosikal tersebut tercampak ke tengah jalan.Penunggang motosikal terbabit terbaring berdekatan motosikalnya.Aku khuatir kemalangan itu telah meragut nyawa.

"Astaghfirullahal'azim.Kenapa lembab sangat aku ni?Patutnya dari tadi aku dah call ambulans!"aku mendengus marah dalam hati.Tanpa membuang masa aku mencapai telefon bimbitku di dalam kocek seluar lalu menekan butang nombor ambulans.

"Hello,saya perlukan ambulans sekarang juga."


**********************************************************************************

Syukur alhamdulillah kerana pemandu lori dan penunggang motosikal tersebut masih hidup walaupun mengalami cedera parah.Aku juga berasa bersyukur kerana Allah menggerakkan hatiku untuk meninjau apa yang telah berlaku di luar rumah.Daripada pemerhatian aku,rasanya akulah orang pertama yang menjadi saksi kemalangan itu.

"Cik..?"Wanita yang diyakini merupakan seorang doktor bertugas itu kelihatan teragak-agak untuk menegurku.

"Oh,saya Sumayya,"aku memperkenalkan diri seraya melemparkan senyuman.

"Cik Sumayya,Cik kenal tak siapa penunggang motosikal tu?Tiada sebarang dokumen atau kad pengenalan padanya yang menunjukkan malumat diri.Memandangkan dia telah jatuh koma,bertambah sukar untuk kami menghubungi keluarganya."

"Astaghfirullahal'azim,doktor.Saya belum melihat mukanya lagi.Susah pula saya hendak membantu pihak doktor.Boleh izinkan saya menjenguknya sebentar?"

"Boleh,tentu saja tetapi saya tidak pasti jika Cik Sumayya boleh mengecamnya kerana mukanya turut tercedera."

Aku melangkah masuk ke dalam wad lelaki tersebut.Aku menghentikan langkahku di sisi katilnya.Aku mengamati wajah itu.Benar,sukar bagiku mengenalpasti identitinya kerana wajahnya yang mengalami cedera yang agak parah.Namun hatiku kian berdebar setelah beberapa lama.Aku kenal lelaki ini.Ingatanku kembali tersorot pada suatu peristiwa lalu.

"Eh awak ni buta ke?Lintas jalan tak reti tengok kiri kanan dulu?Nak mati cepat la tu!"jerkah lelaki itu.Darahku tersirap ke muka.

"Patutnya kena ada signboard AWAS LEMBU MELINTAS kat sini,"sambungnya lagi.

"Awak ni kenapa?Datang bulan ke?Oh,barulah saya tau yang lelaki pun datang bulan!Huh!"balasku sambil mengutip buku-buku yang bertaburan."Dia tu tau marah orang je,bukan reti nak tolong kutip buku-buku aku ni."Gerutuku dalam hati.Lelaki tu nampaknya makin naik angin dengan kata-kataku sebentar tadi.Dia mencampakkan topi keledarnya ke jalan,kasar.

"Mulut kau tu boleh jaga sikit tak?Kau tu yang datang bulan,bertompok merah kat belakang baju!"Kata-katanya itu mematikan langkahku dan cepat-cepat aku check takut-takut kalau kata-katanya betul."Aduh,betul la aku period.Malunya,mana aku nak letak muka aku ni?"

"Woi, Asyraf!Jantan apa kau ni bergaduh dengan perempuan.Tak malu ke,hah?"Seorang lagi lelaki datang menghampiri 'budak bertuah' itu.Lekas-lekas aku memulakan langkah,malas nak bertekak lagi.

"Minah tu la lintas tiba-tiba depan aku!Dah la lintas macam lembu!"Marahnya lagi.Suaranya yang kuat itu menambahkan lagi amarahku namun, cuba kutahan.

"Dah la tu,Asyraf.Bawa bertenang.Istighfar banyak-banyak."

"Saya kenal dia,doktor.Namanya Asyraf Muslim bin Abdul Manaf,"laju sahaja bibirku menyebut namanya.Doktor yang aku kenali sebagai Doktor Fatihah itu berlalu pergi setelah mengucapkan terima kasih kepadaku.

Bermula pertengkaran antara aku dengan dia lebih kurang dua bulan lalu,hatiku tergerak untuk menyelidik latar belakang dirinya.Entah apa la yang merasukku ketika itu?Barangkali kerana dia seorang sahaja yang berani memarahi aku di depan penuntut-penuntut lain.Ya,barangkali kerana itu.Dalam diam-diam,dia telah mencuri hatiku.Kenapa?Mungkin hanya Tuhan yang tahu jawapannya.


*************************************************************************************

Setiap hari aku menziarahinya di hospital.Aku jatuh kasihan terhadapnya kerana dia sudah kehilangan ibu bapa sejak kecil lagi.Malah saudara maranya ketika itu main tarik tali dalam soal menjaganya.Semua berdolak dalik.Akhirnya, dia dihantar ke rumah kebajikan anak-anak yatim dan dibesarkan di situ.

Oleh disebabkan keadaannya yang kritikal,aku meluangkan masa setiap hari sekali membaca surah Yaasin untuknya.Moga-moga Allah Azza Wajalla mengizinkannya untuk terus hidup.Kerap kali juga aku terserempak dengan rakan-rakannya.Mujurlah ketika pertemuan itu aku tidak berada di dalam wadnya.Lagipun, mungkin ada seorang dua sahaja di antara mereka yang mengenaliku.

Leka membaca surah Yaasin tiba-tiba aku terlihat jari-jemarinya digerakkan.Dengan segera aku memanggil doktor.

"Pesakit ni dah beransur pulih.Insya-Allah dia akan terjaga sepenuhnya tak lama lagi,"Doktor Fatihah seakan menyuntik sedikit keyakinan dalam diriku.

"Ya,Insya-Allah,"aku berbisik perlahan sambil merenung Asyraf Muslim yang terlantar di atas katil.

Kuliahku berakhir agak lewat hari ni dan keadaan itu memaksaku untuk mendirikan solat Asar di hospital.Aku memutuskan untuk mendirikan solat di dalam wad Asyraf Muslim kerana ianya lebih selesa.Setelah doaku diaminkan,aku tersentak kerana mendengar ada suara lain yang turut mengaminkan doa.Aku mengalihkan pandanganku ke arah Asyraf Muslim di katil.

"Ya Allah,alhamdulillah!Awak dah sedar."Tanpa disedari air mataku menitis.

"Aku dah lama sedar.Pagi tadi.Kau buat apa kat sini?" Hmm,masih lagi sombong macam dulu..

"Saya tak buat apa-apa selain menjaga awak setiap hari.Nampaknya awak tak perlukan saya lagi,"aku mula melangkah keluar setelah kain sembahyang telah disimpan kemas di dalam begku.

"Tunggu!"Langkahku terhenti."Jaga aku setiap hari?Kenapa?Bukan ke aku dah marah kau teruk-teruk dulu?Kenapa kau sanggup....jaga aku?"Aku tersenyum hambar.

"Buat apa lah dikenang cerita lama.Bukak la buku baru ye,saudara.Saya balik dulu.Assalamualaikum."Selepas itu aku tidak lagi menziarahinya.


************************************************************************************


Kira-kira selepas sebulan lebih,aku terdengar khabar bahawa Asyraf Muslim sudah kembali ke kampus.Malah, khabarnya juga dia sudah boleh berjalan seperti biasa.Syukurlah Allah SWT memanjangkan umur dan memulihkan kesihatannya.Mendengar khabar itu sahaja sudah cukup membuatku gembira.

"Sumayya!" Hmm,dia!

"Puas saya cari awak.Merata dah saya pusing,"katanya sambil tercungap-cungap.

"Oh, ye ke?Sampai Sabah tak?"Sengaja aku mengujinya.Ternyata dia nampak agak tertekan.

"Saya jumpa awak ni sebenarnya nak ucap terima kasih."

"Oh, tu je ke awak nak cakap?"Sekali lagi aku mengujinya.

"Em..saya nak belanja awak minum.Kita keluar berdua je boleh?"Matanya bersinar-sinar penuh pengharapan.

"Boleh tu memang boleh tapi ada satu syarat."

"Hah,apa dia?"soalnya agak gugup.

"Kalau nak makan berdua,awak kena jumpa mak ayah saya dulu."

"Hah,buat apa?"Dia makin bingung.Lantas aku tertawa kecil,geli hati.

"Masuk meminang saya lepas tu terus kahwin." Aku tersenyum dan terus berlalu pergi.Dia masih lagi terpaku di situ.


*************************************************************************************


Tiga tahun telah berlalu.Aku masih tidak dapat memadamkan ingatan dan cintaku kepada Asyraf Muslim.Namun, aku terpaksa juga melupakannya sedikit demi sedikit kerana aku telah menjadi tunangan orang.Seksa diriku kerana terpaksa melupakannya.Tetapi kerana keyakinan kepada ketentuan Allah SWT dan pilihan ibu bapa,aku pendamkan sahaja.Aku yakin pilihan ibu bapa tentulah pilihan yang terbaik.Tidak lama lagi aku bakal bergelar sebagai seorang isteri.Harapanku semoga aku mampu menjadi seorang isteri yang baik.

"Betul ke Sumayya tak nak tengok gambar dia?"Ibu menyoalku acapkali sejak aku menjadi tunangan orang.Mungkin ibu kehairanan melihat sikapku.Biarlah,aku berserah sahaja kepada takdir.

Majlis akad nikah diadakan di rumah kediaman ibu bapaku.Ramai saudara maraku yang hadir.Rombongan pengantin lelaki tiba dengan hantaran tujuh dulang dan dibalas dengan sembilan dulang oleh pihakku.Aku tidak dapat menahan air mataku daripada mengalir.Sayu rasanya.Aku lihat pengantin lelaki berjabat tangan dengan waliku iaitu bapaku sendiri.Wajahnya tidak begitu jelas kerana aku tidak memakai cermin mata.

"Aku terima nikahnya Sumayya Iman binti Abdul Rasyid dengan mas kahwin RM80 tunai"Lancar lidahnya mengucapkan kabul.Kini sah aku bergelar seorang isteri.

Tiba masanya pengantin lelaki menyarungkan cincin di jariku.Ya Allah,tabahkanlah hati hamba-Mu yang lemah ini!"Aku berdoa dalam hati.

Suamiku berdehem kecil memberi isyarat supaya aku memandangnya.Bertambah deras air mataku mengalir kerana di hadapanku ialah Asyraf Muslim.Dialah suamiku.Selepas cincin disarung,kucium tangannya dan dia membalas dengan ciuman di dahiku.Asyraf Muslim berbisik di telingaku,"Sekarang saya dah boleh keluar berdua dengan awak."Kata-katanya itu membuatku tersenyum.Hanya Tuhan yang tahu betapa terhiburnya hatiku kerana dipertemukan jodoh dengan lelaki yang kucinta.

3 budak suka tunjuk gigi:

Anonymous said...

Ececece
cerita best
boleh dihayati
good work!! :D

kisah cinta idaman eh? hehe

Anonymous said...

wah,best2!
beta kalu bleh nk org yg unik
ngehx2

looking for my edward cullen~

-quya-

Anonymous said...

Percubaan yang menarik,
Jalan cerita dier senang diikuti,
Dan watak dier tak terabur...

Huhuhu, Cerpen nie pernah menang ape-2 pertandingan x??

 

aL sYa Copyright © 2011 Blog aL sYa Yang Punyaa